Thursday, 8 May 2014

Sarang Pelacuran

KUALA LUMPUR: Menyasarkan golongan lelaki berumur sebagai pelanggan utama, sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Taman Connaught, Cheras di sini dikesan turut menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggannya.

Beroperasi di sebuah bangunan kedai yang usang tanpa papan tanda, menjadi modus operandi pusat hiburan itu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
 
Bagaimanapun, hasil risikan dan maklumat awam, premis berkenaan akhirnya diserbu polis dari Bahagian Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman, kira-kira jam 11 malam, tadi.


Hasilnya, sembilan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam berusia antara 19 hingga 46 tahun ditahan kerana menyalahgunakan pas pelawat selain dipercayai turut menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan yang berhibur.

Dalam serbuan yang diketuai Inspektor Mohammad Mohd Jais itu, dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai Deejay dan juruwang berusia 44 dan 49 tahun turut ditahan, manakala 28 pelanggan yang sedang berhibur dan sebahagian besarnya lelaki yang sudah berumur 40 tahun ke atas, dibebaskan selepas data peribadi mereka direkodkan.

Menurut Mohammad, pusat hiburan yang beroperasi sejak lebih enam bulan lalu dibuka dari jam 6 petang hingga 3 pagi dan selain berhibur, pelanggan boleh menempah GRO di situ untuk melayan nafsu mereka.

"Selepas membuat tempahan, GRO terbabit akan membawa pelanggannya ke sebuah hotel berhampiran untuk melakukan seks dengan kadar bayaran tertentu.
"Ketika diserbu tadi, tiga orang GRO sudah sedia ditempah oleh pelanggan," katanya yang turut memberitahu kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan menurut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

1 comment: